First topic message reminder :Malaysia boleh tangani selesema babiVaksin selesema bermusim dalam bentuk serbuk.
Negara sudah ada Pelan Persediaan Pandemik Influenza Kebangsaan yang menggariskan lima strategi, selain ada bekalan vaksin mencukupiRAMAI yang tidak tahu banyak perbezaan antara selesema babi, selesema burung dan selesema bermusim atau influenza yang berlaku sepanjang tahun di Malaysia.
Jika selesema bermusim boleh ditangani dengan vaksin, sama ada vaksin hemisfera selatan (dikeluarkan setiap Mac) dan vaksin hemisfera utara (dikeluarkan setiap September), tetapi selesema babi yang diramalkan menjadi pandemik atau wabak besar-besaran ketika ini masih tiada vaksinnya.
Berdasarkan perkembangan semasa, vaksin selesema babi mungkin berada di pasaran menjelang Jun nanti.
Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak, berkata vaksin selesema bermusim tidak boleh mencegah selesema babi atau selesema burung, tetapi pengambilannya membantu dari segi pengeluaran vaksin itu sendiri jika berlaku wabak.
"Jika vaksin selesema bermusim hanya diambil pada jumlah yang sedikit pada waktu biasa, apabila berlakunya wabak, sukar untuk syarikat farmaseutikal untuk menggandakan jumlah pengeluaran mereka dan memberi keutamaan kepada pengguna," katanya.
Satu daripada sebab warga Malaysia tidak mengambil vaksin selesema bermusim kerana mereka tidak mempercayai kewujudan influenza di negara ini.
Bagaimanapun, mengikut kajian yang dilakukan Dr Che Ilina, influenza berlaku di Malaysia dan ia berupaya menjadi pandemik yang meragut nyawa.
Malah, laporan tahunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyebut antara lima hingga 15 peratus populasi dunia terjejas dengan masalah influenza. Setiap tahun, antara tiga hingga lima juta kes influenza yang sederhana dan kronik mencatatkan kematian antara 250,000 dan 500,000 orang di seluruh dunia.
Apa yang membezakan influenza dan selesema ialah masalah jangkitan pernafasan terjadi disebabkan virus influenza yang boleh berlaku pada tahap biasa hingga membawa maut.
Jelas Dr Che Ilina, WHO sudah memberi amaran mengenai kemungkinan selesema menjadi pandemik sejak 1999. Justeru, setiap negara mempunyai pelan kecemasan tersendiri.
Apatah lagi pandemik selesema biasanya menyerang 10 tahun sekali berikutan tiada lagi imuniti di kalangan penduduk. Bagaimanapun, sudah hampir 30 tahun, dunia tidak berdepan dengan pandemik selesema yang meragut nyawa dan boleh berpindah daripada manusia ke manusia.
"Malaysia sudah berpengalaman dalam menangani wabak Sindrom Pernafasan yang Teruk (Sars) dan selesema burung, justeru, jika selesema babi menjadi wabak, ia boleh dihadapi dengan baik," katanya.
Malah dalam Pelan Persediaan Pandemik Influenza Kebangsaan (NIPP) sudah menggariskan lima strategi. Antaranya termasuklah pengawasan pertambahan jumlah mereka yang diserang selesema atau penyakit seakan selesema selain penyimpanan bekalan vaksin.
"Sebenarnya, rakyat Malaysia tidak perlu panik kerana kerajaan sudah menyediakan NIPP dan jika berlaku wabak, ia mudah ditangani," katanya.
Kata Dr Che Ilina, berbanding selesema burung, selesema babi boleh berpindah kepada manusia kerana reseptor dalam babi boleh menerima virus selesema burung dan selesema yang terjadi pada manusia.
"Sifat reseptor dalam babi dikenali sebagai 'mixing vessel' menyebabkan ia mudah berpindah kepada manusia dan berpotensi menjadi pandemik," katanya.
Selain babi, kuda dan singa laut juga boleh mencetuskan wabak selesema. Namun keupayaannya menjadi virus yang boleh berpindah daripada manusia kepada manusia belum dapat dipastikan.
"Jumlah babi yang diternak juga sebenarnya menyumbang kepada penularan wabak, apatah lagi jika penternakan itu tidak disertai dengan pelan penternakan yang betul, misalnya pemberian vaksin," katanya.
Kenyataan itu tidak dinafikan kerana seperti kes yang berlaku di Mexico, memetik sumber daripada The Humane Society United States, lokasi wabak selesema babi dikesan menternak sejuta ekor babi. Bagaimanapun, bukan semua ternakan diberi vaksin selesema.
Apatah lagi saiz ladang itu sendiri meningkat dengan banyak daripada 18 peratus pada 1993 kepada 53 peratus pada 2002.
Dengan sifat reseptor babi itu yang mudah menerima dan memindahkan virus selesema dan beban ternakan yang banyak tanpa pelan penternakan teliti, ladang babi di seluruh dunia sepatutnya dikawal selia dengan baik atau dikecilkan.
Sumber dari
www.Bharian.com.my